Fekah

PENGERTIAN FARAID
Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta). Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
1. Tanah
2. Bangunan (rumah).
3. Barang kemas (emas, perak dll).
4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.

CARA PENGAMBILAN HARTA PUSAKA
Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.
1. Ashabul-Furud
Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.
2. Asabah
Merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan (1) mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Binafsih
(b) Asabah Bil Ghoir
(c) Asabah Maal Ghoir.

(a) Asabah Binafsih
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.
(b) Asabah Bil Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta, atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.
(c) Asabah Maal Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).
3. Dhawil-Arham
Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati. Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu:
Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.
(a) Hijab Nuqshon
Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.
(b) Hijab Hirman
Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 11)
Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu; bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka ia memperolehi separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat satu pertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat satu perenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut) sesudah dipenuhi wasiat yang dia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
(an-Nisa : 11)

ALLAH S.W.T telah berfirman: dalam (an-Nisa : 12)
Dan bagimu (para suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh satu perempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan bapa dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua-dua jenis saudara itu satu perenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang satu pertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.
(an-Nisa :12)

KADAR DAN SYARAT BAGI SETIAP AHLI WARIS
Berikut adalah bahagian yang diperolehi oleh ahli waris mengikut syarak..
Bahagian Diperolehi Suami kepada simati
1/2 Tidak mempunyai anak ATAU
Tidak mempunyai cucu dari anak lelaki
1/4 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki

Bahagian diperolehi Isteri kepada simati
1/4 Tiada anak ATAU
Tiada cucu dari anak lelaki
1/8 Mempunyai anak ATAU
Mempunyai cucu dari anak lelaki

Bahagian Diperolehi Anak Perempuan Simati
1/2 Hanya seorang sahaja DAN tidak ada anak lelaki
2/3 2 orang anak perempuan atau lebih DAN tiada anak lelaki
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai anak lelaki - mendapat separuh dari bahagian anak lelaki

Bahagian Diperolehi Cucu Perempuan Anak Lelaki Simati
1/2 Mempunyai seorang sahaja DAN tiada anak
2/3 Mempunyai 2 orang atau lebih DAN tiada anak
1/6 Mempunyai seorang atau lebih jika bersama-sama dengan
seorang anak perempuan
ASABAH BI-GHAIRIH Mempunyai cucu lelaki - mendapat separuh dari bahagian cucu lelaki daripada anak lelaki.
Terhalang disebabkan mempunyai anak lelaki ATAU 2 anak perempuan
atau lebih

Bahagian Diperolehi Bapa Simati
1/6 Mempunyai anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki
1/6 dan Asabah Mempunyai anak perempuan ATAU cucu perempuan
dari anak lelaki
ASABAH Tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki

Bahagian Diperolehi Ibu Kepada Simati
1/6 Mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU mempunyai dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 Tidak mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU
tiada dua saudara kandung ATAU saudara sebapa
1/3 dari baki Mempunyai bapa serta suami ATAU isteri

Bahagian Diperolehi Datuk kepada simati
Sama seperti bapa Hanya mendapat bahagian sekiranya tiada bapa

Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Seibu Sebapa kepada simati
1/2 Tiada anak, cucu, bapa DAN tiada waris yang
menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih, tiada anak, cucu, bapa DAN ahli yang menjadikannya Asabah
ASABAH Mempunyai saudara lelaki kandung ATAU datuk.
Terhalang oleh disebabkan adanya bapa, ATAU anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki

Bahagian Diperolehi Saudara Perempuan Sebapa
1/2 Hanya seorang, tiada anak, cucu,saudara kandung, bapa
DAN tiada ahli yang menjadikannya Asabah
2/3 Dua orang atau lebih dengan syarat tiada cucu lelaki,
saudara kandung, bapa DAN tiada ahli yang menjadikannya
Asabah
1/6 Seorang atau lebih mempunyai saudara perempuan seibu
sebapa
Asabah disebabkan oleh saudara lelaki sebapa ATAU datuk
Terhalang Oleh 1. Bapa
2. Dua orang atau lebih saudara perempuan kandung
3. Seorang saudara perempuan kandung dan mempunyai
anak perempuan dan cucu perempuan
4. Saudara lelaki kandung

Bahagian Diperolehi Saudara Seibu (Lelaki/Perempuan)
1/6 Hanya seorang, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
1/3 Dua atau lebih, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki
Terhalang oleh Disebabkan adanya bapa, datuk, anak dan cucu dari anak lelaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan